Thursday, May 28, 2009

Surabaya - Hari Pertama


Khamis 21 Mac 2009. Pagi itu aku hanya membawa beg galas. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada si kecil aku terus ke tempat kerja. Caca menangis pagi itu. Aku pun sedih jugak. Agaknya dia tau dia akan jumpa ayahnya 4 hari lagi.

Bas akan tiba jam 9.30 pagi dan rombongan pertama telah berangkat jam 8 pagi tadi. Rombongan kedua ini terdiri dari 10 orang. Memandangkan aku orang kecil, maka segala barangan sampingan seperti cenderamata di bawa oleh aku dan Zali. Bukan sikit, satu beg maha besar dan berat termasuk jugak 2 kotak yang lain.

Aku menyumpah.

Bas tiba jam 9.45 pagi diiringi oleh Mardiana sebagai urusetia disini. Shahrul telah menunggu di LCCT. Perjalanan ke LCCT diiringi perasaan teruja, seronok dan berdebar. Aku kena ingat, ni bukan trip berbulan madu. Ini kerja la. Aku dibantu oleh Zali dan dia juga sangat bersyukur aku ikut sekali. Kalu tak sapa nak bawak bagasi yang berat-berat ini. Kitorang kan balaci, bak kata big boss.

Kami sampai di LCCT sejam kemudian dan terus ke kaunter check-in. Masalah bagasi akan timbul disini kerana kami membawa lebihan muatan yang semestinya akan melibatkan kos yang besar. Urusan di kaunter dan segala passport kami diuruskan oleh Shahrul dengan jayanya. Segala berat bagasi untuk 10 orang adalah 40 kilogram termasuk 3 beg sampah itu. Jumlah yang perlu dibayar adalah RM800. Big boss bagi RM500 dan Shahrul ke top-up RM300 lagi.

Shahrul menyumpah.
Baik bawak aku katanya.

Kami ada masa 2 jam sebelum burung besi akan berlepas. Seterusnya kami ke kedai badut untuk mengisi perut. Aku, zali, mardiana, shahrul, anne dan aniza semeja. Lawak jenaka shahrul sangat menghiburkan dan alangkah ruginya dia tak ikut sekali. Dah kat kedai badut, kenalah buat lawak.

Setelah mengisi perut dan diberi amanat maka kami pun berangkat ke balai berlepas. Aku pertama kali menaiki AirAsia begitu juga Zali. Teruja? sudah mesti. Banyak juga kedai bebas cukai yang hanya mampu kami melihat sahaja. Tak nak terleka ingat bulan madu ke. Ini kerja la.

En. Ahmad Sayuti memperkenalkan kepada kami pensyarah beliau. Orangnya sudah tua, memiliki wajah seorang berilmu tinggi dan ber fizikal sederhana. Dan si Sayuti ini tanpa rasa malu meminta pada aku satu buku trip perjalanan untuk diberi kepada pensyarahnya. Dah la tinggal satu je. Dia bukan ahli rombongan kita dol.

Pintu telah dibuka dan kami beratur seperti budak sekolah untuk menaiki burung besi. Zali mengira seperti ketua darjah dan Alhamdulillah anak murid seramai 10 orang cukup semuanya. Aku tak terlibat dalam urusan matematik ini kerana aku tak diamanahkan untuk jadi ketua darjah. Aku setiausaha kelas aje, jadi kerja aku buat laporan dan ambik gambar. Tanpa pedulikan orang lain kami mengambil gambar bagai tak mau. Lepas aku Zali. Lepas Zali aku.

Perut burung ini diisi 6 baris kerusi melintang dan 30 baris kerusi memanjang. Aku berada di baris ke 27 sementara Zali baris ke 7. Pemandangan pertama aku dalam perut burug adalah gas sejuk yang berkepul keluar dengan banyaknya dari tepi jendela ke tengah perut. Peliknya. Sampai begitu sekali burung ini mengeluarkan gas sejuk dah rupa peti ais pulak.

Ikutkan posisi aku sepatutnya berada di sebelah jendela. Tetapi si Bambang Pamungkas ini beriya-iya meminta kerusi aku itu dan aku si lembut hati memberinya tanpa banyak soal. Maka berebutlah si Bambang ini dengan kekasihnya si Dian Sastro akan kerusi aku.

Aii.. itu pun nak berebut. Tak pernah naik kapal terbang ke.

Aku hanya duduk di tepi sambil mata melilau melihat gadis berbaju merah menyuruh kris dayanti duduk, menyuruh agnes monika duduk dan Gus Dur duduk. Diorang ni tak pernah naik kapal terbang ke. Mungkin mereka ini biasa naik Garuda pertama kali Air Asia. Samalah dengan aku.

Pramugari seramai 3 orang dan pramugara seorang. Muka memang out. Dengan mata bengkak macam tak cukup tido, rambut kusut dan mekap kelabu buat aku nak muntah. Ini ke pramugari AirAsia. Teruknya. Maka aku bantai tido dalam perjalanan 2 jam. Kadang kala aku terbangun untuk mengisi pelbagai borang dan Bambang pamungkas yang bermuka manis rajin ajak bersembang. Dia menggunakan bahasa Malaysia tulen semasa bersembang. Langsung takde dialeg indon. Dia pun sudah 2 tahun di JB dan inilah pertama kali pulang ke tanahair untuk bercuti selama sebulan. Orang perantauan pasti seronok pulang melihat kambing yang telah beranak, melihat sungai yang telah tercemar dan juga melihat keluarga yang telah besar.

Setelah seliter air liur basi aku tumpahkan di kerusi akhirnya tiba jua di Surabaya. Pemandangan dari atas kelihatan Surabaya adalah kota yang padat. Posisi rumah yang sangat rapat dan lautan sawah yang sangat luas. Setibanya di tanah urusan keluar ke lapangan terbang bukan semudah yang disangka.

Adab beratur tidak diamalkan di sini. Tolak menolak adalah kemestian. Aku rimas. Scanning suhu badan adalah wajib bagi semua penumpang. Zali dah ke hadapan begitu juga yang lain. Aku tertinggal. Zali telah memegang bagasi sementara aku masih beratur. 3 beg sampah itu adalah tanggungjawab kami dan sukarnya membawa beg tersebut tuhan saja yang tahu. Ditambah lagi pihak imigresen meminta kami membuka beg terbesar itu. Terpaksa kami menerangkan hadiah ini untuk bapak walikota Surabaya beserta dengan surat jemputan.

Dengan stroller yang cacat sangat melambatkan kami. Setibanya di tepi jalan kami mencari ahli rombongan lain. Tiada. Aku dah risau. Mana semua orang pergi. Aku dah ke hulu ke hilir. Zali menjaga bagasi.

Rupanya kami hampir ditinggalkan. Semua dah naik bas tinggal kami aje dan bas hampir bertolak. Semuanya pentingkan diri sendiri. Cilaka betul. Kami ni sibuklah menjaga diorang, bila masa kami susah ditinggalkan aje.

Kami jenis tak menyimpan jadi perkara ini kami lupakan.

Kenderaan coaster yang mengambil kami agak selesa dan lokasi pertama kami adalah kawasan banjir lumpur. Perjalanan hampir sejam ke sana. Kawasan banjir lumpur ini kini menjadi tarikan terbaru disana. Kawasan yang diselaputi lumpur saujana mata memandang. Kisahnya kawasan ini adalah sebuah kampung dan didasarnya mengandungi minyak. Maka ada pihak tertentu menggali lubang untuk mengeluarkan minyak. Akibat tiada perancangan dan teknologi maka kawasan yang disangka minyak sebenarnya adalah lubuk lumpur. Maka yang naik ke atas adalah lumpur dan seluruh kampong tenggelam dengan lumpur dan lupus selamanya.

Tebing kawasan ini ditinggikan bagi mengelakkan lumpur mengalir keluar dan suasana sangat menyeramkan kerana menurut informasi lumpur tersebut tidak henti keluar. Kami tidak lama disitu kerana kami mengejar rombongan pertama ke Indah Bordir. Sebuah butik pakaian yang menjual kain batik, telekung, baju dan pelbagai lagi. Kami solat jamak disana. Masa kami tidak panjang kerana perlu bergegas ke hotel untuk check-in.

Hotel Shangri-La Surabaya adalah hotel penginapan kami. Hotel yang berkualiti 5 bintang ini sangat tinggi kawalan keselamatan. Nak masuk lobi pun kena lalu scanning badan. Mungkin arahan pemerintah selepas JW Mariott dibom beberapa tahun yang lalu. Kebetulan pada hari tersebut Presiden Indonesia turut menginap disitu di atas urusan kerja di Surabaya.

Aku dan Zali ditempatkan di bilik 1528. setingkat dengan kami adalah bilik Tuan Mazalan dan isteri. 3 beg sampah mengikut kami sehingga ke bilik dan sesungguhnya bilik kami sangatlah cantik. Pemandangan Surabaya pada waktu malam sangat indah. Kami tak berehat lama kerana 30 minit lagi kami perlu ke rumah rasmi bapak walikota untuk welcoming dinner. Untuk malam ini agak banyak barang yang perlu dibawa ke sana. Maka aku korbankan bagasi aku dan diisi segala cenderamata yang perlu. Setelah menyusun apa yang perlu dibawa dan mandi stakat basahkan badan dan berbaju batik kami terus ke lobi untuk destinasi seterusnya.

Perjalanan tidak jauh tapi suasana bandar pada jam 7 malam sangat sesak. Penunggang motorsikal menguasai jalan. Nisbahnya adalah 1 kereta : 5 motorsikal. Kami agak terkejut kerana usia bandar Surabaya adalah 716 tahun! Waaahhh.. dah tua gila ni. Dan rumah rasmi bapak walikota berdekatan dengan pejabatnya.

Rombongan kami seramai 21 orang disambut mesra oleh pegawai pemerintah disana. Aku terhegeh-hegeh menyeret beg yang berisi cenderamata itu. Dah la bertangga-tangga. Gila susah nak bawak. Diorang ni tak simpati ke. Zali pun tak boleh membantu kerana dia dah disuruh mengambil gambar oleh En. Ahmad Sayuti. Ehh.. kamera ko, suh orang lain ambik gambar ape hal.

Jamuan malam itu dihadiri hampir 50 orang termasuk 8 orang pelajar Malaysia yang belajar di universitas sana. Makan malam agak enak, ada sate. Dah macam kat Malaysia pulak. Tapi yang peliknya satenya guna lidi halus macam lidi penyapu. Naik geli aku nak makan. Makan style buffet bukan hidang. Malam itu diserikan dengan nyanyian oleh penyanyi jemputan dan tarian gelek dimana penarinya memakai pakaian yang agak jarang. Terbeliak mata Sayuti tengok. Ada pengarah yang mengambil video ada ahli majlis yang mengambil gambar tak henti. Malam itu juga diserikan dengan kek harijadi kepada Tuan Mazalan yang ke 51.

Majlis malam itu berakhir pada jam 9 malam. Di Surabaya ini waktu gelapnya adalah pukul 6 petang. Jadi pukul 9 malam tu dah macam tengah malam la di Malaysia. Setibanya di lobi hotel aku, Zali, Sarin dan Asmah kononnya nak buat serbu bilik Tuan Mazalan dengan kek. Berangkat lah kami ke tingkat 15 diiringi seorang bell boy.

Kami berkerumun di depan pintu dan Asmah membunyikan loceng.
Asmah : Macam mana ye lagu birthday tadi?
Sarin : Cam mana ye.. hmm.. bapak tau lagu birthday indonesia.
Bellboy : Apa lagu indonesia.. Indonesiaaa.. Indonesiaaa....
(dan terus menyanyi lagu kebangsaan indon)
Kami tergelak pecah perut
Asmah : ehh.. bukan-bukan.. lagi harijadi..
Belboy : happy birthday to u...
Asmah : bukan-bukan dalam bahasa indonesia (tergelak-gelak lagi)
Belboy : Panjang umurnya.. panjang umurnya...
Kami : haaaaaa.. betul...betul...

2 saat kemudian baru birthday boy bukak pintu dengan berkain pelekat dan baju kemeja yang dikancing 1 butang. Isterinya tak kelihatan mungkin telah digari oleh birthday boy untuk aksi ranjang seterusnya..

Kami : Panjang umurnya.. panjang umurnya...
Birthday boy : Ehh.. syy.. diam..diam.. orang dengar tuu..

dan kami menyanyi sampai habis

Asmah : datuk kami nak masuk ke dalam nak rasa kek
Birthday boy: ehh.. tak payah la esok-esok rasa..
Kami : okkk.. (tergelak-gelak)

Dan kami berpecah dan terus gelak besar sampai ke bilik.

Malam pertama di Surabaya takkan nak terus tido. Jadi kami dah berpakat dengan Sarin nak ke pusat kebugaran (massage) di tingkat 3 hotel. Tapi malangnya operasi stakat pukul 10 malam sahaja. Kami berkeliaran di lobi hotel dan bersembang dengan karyawan disana (kakitangan hotel dipanggil karyawan). Pusat kebugaran di tempat lain juga tutup operasi jam 10 malam. Buntu juga. Badan pun lesu dan kami terus ke bilik untuk berehat sambil menonton tv.

Hotel kami menyediakan 63 buah saluran tv. Saluran indonesia sahaja dah 15 buah dan termasuk juga saluran antarabangsa seperti movie sukan dan berita. Malam itu kami menonton satu kisah sedih bertajuk “Drama reality”. Kisah seorang perempuan muda yang buta kerana menderhaka kepada ibunya. Dan 2 orang hos rancangan itu berusaha mendapatkan alamat tempat tinggal ibu kepada perempuan buta itu.

Rancangan ini sangatlah menarik kerana apa yang terjadi adalah realiti dan aku dah plan nak tengok balik di youtube sepulangnya dari Surabaya ini.

Hari pertama perempuan ini dimaki oleh saudaranya di khalayak sampai jem kawasan itu dan orang penuh berkerumun.

Hari kedua perempuan ini ke kedai dimana maknya pernah bekerja, dimaki juga oleh pekerja kedai itu sampai digelar perempuan buta ini anak haram.

Hari ketiga perempuan ini jumpa balik dengan saudaranya yang hari pertama itu dan kemarahan saudaranya itu memuncak sampai dijirus kopi yang diminum ke sibuta itu.

Alamat yang diminta tetap tak dapat.

Hari keempat si buta ini berjumpa dengan kakaknya dipasar setelah dihubungi (nombor telefon diberi oleh saudaranya yang menjirus. Itu pun setelah didesak oleh hos) dan kakaknya tak mengaku mengenali si buta dan dia lari ke dalam van (teksi) dan hos, si buta dan krew kamera ikut skali berlari ke dalam van tu. Setelah didesak kakaknya yang kerjanya melempang sibuta tanpa henti itu hanya memberi nama kampung.

Hari kelima. Mereka ke kampung dan sibuta berkata jika bapanya bekerja dia biasa memakai topi. Kebetulan orang yang ditegur oleh hos adalah bapak sibuta. Dan sibuta terus menangis meraung memeluk bapanya yang hanya diam dan tidak memandang langsung ke muka sibisu. Bapanya lari dan hos pengejar sampai ke rumah.

“Adakah ibu ini Maria” tanya si hos. Iya benar.
“Adakah gadis ini anak kamu?” tanya lagi. Iya juga benar jawab ibunya tenang.
Dan bermulalah kemuncak cerita dimana sibuta memeluk ibunya sangat erat tanpa dibalas pelukan oleh ibunya. Meraung si buta meminta ampun tanpa henti sampai mencium kaki ibunya dan sibuta menyuruh si hos mengambil air sebesen.

Apabila air itu tiba si buta membasuh kaki ibunya dan meminum air kaki ibunya itu! Si ibu pun sama-sama menangis dan memeluk sibuta. Hos wanita jangan ditanya dah berlinang air mata. Bapa si perempuan dah kesat air mata dan si buta terkam kaki bapanya dan cium kaki dan tapak kaki bapaknya itu. Serius cakap menitik air mata aku menengok kisah ini. Sampai saat aku menulis ini badan aku dah meremang teringat cerita itu.

Inilah kisah yang sangat memberi kesan pada aku kebelakangan ini.
Sekian kisah hari pertama.

No comments: